Tuesday 20 October 2009

Malu tubuh sendiri

1. Membelai tubuh

Walaupun tubuh anda tidak kurus bak model namun jangan sesekali mengetepikan penjagaan tubuh anda. Belai dan bersihkan tubuh anda dengan produk-produk yang ada di pasaran. Sekali sekala dapatkan rawatan di pusat kecantikan atau spa untuk menyental segala kotoran atau daki yang mungkin bertampuk di tubuh. Tubuh yang sudah dibelai dan segar akan membantu keyakinan diri bila berhadapan dengan suami. Ia juga mampu membantu menerbitkan rasa ghairah kerana anda sudah pasti mahu suami merasai perbezaan kulit setelah anda pulang dari spa.

2. Ubah penampilan

Penampilan anda sekarang baik dari segi pakaian ataupun fesyen rambut kemungkinan tidak berubah semenjak zaman gadis lagi. Salah satu cara untuk membangkitkan keyakinan diri adalah dengan mengubah penampilan diri. Ubah fesyen rambut anda, sekiranya dahulu rambut anda panjang menggerbang apa salahnya anda memotong pendek untuk kelihatan lebih muda. Selain itu kenakan pakaian baru sewaktu ingin bersama suami. Penampilan baru ini mungkin akan menyalakan semula ghairah suami anda yang hampir padam. Anda juga mungkin akan berasa lebih berkeyakinan untuk bersamanya dengan penampilan yang baru.

3. Ubah teknik

Gaya hubungan intim yang tidak pernah berubah semenjak anda berkahwin sememangnya sedikit sebanyak akan menyebabkan timbulnya kebosanan untuk bersama dengan pasangan. Walaupun anda wanita tapi tiada salahnya anda memulakan ajakan untuk mempraktikkan gaya baru ketika melakukan hubungan intim. Anda pasangan suami isteri yang sah jadi apa yang hendak dimalukan dengan pasangan sendiri. Teknik baru dalam hubungan intim pastinya akan mendatangkan kepuasan yang lebih pada pasangan, sekali gus akan mengaburi penampilan diri anda yang tidak sempurna di mata suami.

4. Sembunyikan kekurangan diri

Kalau bentuk tubuh menjadi kerisauan besar buat anda untuk bersama dengan suami, apa kata sembunyikannya dari penglihatan suami. Kalau bimbang perut yang menggeleber dilihat oleh suami, malapkan lampu ketika bersama suami. Biar hanya ada cahaya samar-samar supaya tubuh anda tidak dilihat jelas oleh suami. Selain melindungi bentuk tubuh anda yang kurang sempurna, cahaya samar samara juga akan membangkitkan perasaan romantis dan juga ghairah. Bagi melengkapkan lagi suasana, semburkan sedikit haruman ke bilik, pasti ghairah anda dan suami akan menyala.

5. Terima diri anda seadanya

Jangan menyesal dengan bentuk tubuh anda sendiri dan jangan sesekali cepat terasa dengan kata-kata rakan tentang pinggang anda yang besar ataupun tubuh anda yang sudah gemuk. Perkara ini hanya akan membuatkan anda lebih berasa rendah diri. Sekalipun kata-kata itu benar, anggap ia sebagai satu cabaran untuk anda menguruskan badan atau mengubah penampilan. Tapi yang paling penting jangan ambil kira kata-kata rakan, yang utama adalah pandangan suami anda sendiri. Sekiranya dia dapat menerima anda seadanya mengapa pula anda tidak sehingga berasa rendah diri?

No comments:

Post a Comment