10 FAKTA untuk wanita yang berumur kurang daripada 35 tahun…
Penyakit barah payu dara adalah penyakit yang lazimnya tidak menyerang mereka yang muda usianya! Sekiranya anda berumur dibawah umur 30an, maka risiko untuk anda menghidap penyakit ini adalah rendah. 90% daripada kelainan payudara bukanlah barah!
Fakta 02 Ramai yang kenali seorang yang diserang barah payudara…
Kaum wanita zaman ini lebih peka dengan isu serta permasalahan penyakit payudara. Ini adalah kerana penyakit ini pastinya pernah menyerang seseorang yang mereka kenali. Ianya mungkin kaum keluarga, sahabat handai atau rakan sekerja di pejabat.
Fakta 03 Rasa kebimbangan yang keterlaluan tidak sihat
Rasa kebimbangan yang keterlaluan terhadap payu dara anda bukanlah sesuatu yang sihat! Sebaliknya, tidak berpengetahuan mengenai subjek kesihatan payudara tidak bererti anda akan senang hati selamanya.
Fakta 04 Bagaimana mengurangkan kehilangan nyawa daripada barah payudara?
Pengesanan awal adalah kuncinya…
Langkah pencegahan penyakit barah payu dara berupaya untuk mengurangkan angka kehilangan nyawa serta penderitaan akibat daripada penghidapan penyakit tersebut. Usaha pengesanan awal adalah kunci utama dalam menangani penyakit barah payudara.
Fakta 05 Kesihatan anda tertakluk kepada diri sendiri anda
Amalan kesihatan payudara adalah terletak di tangan anda! Usia bukanlah halangan untuk anda menguruskan kesihatan payudara anda.
Fakta 06 Ketahui Serta Kenalilah Payu Dara Anda …Lakukan PSP
Pemeriksaan sendiri payudara (PSP) boleh dilakukan secara sendiri tanpa mengira usia mahupun jantina seseorang. Ianya haruslah dilakukan apabila seseorang individu itu mula mencecah usia di antara 18 hingga 20 tahun. Bagi kaum hawa, ianya haruslah dilakukan selang tiga hari selepas berakhirnya haid mereka, setiap bulan. Kaum lelaki ataupun wanita yang sudah menopos, harus melakukan PSP pada tarikh yang sama, setiap bulan.
Apabila anda secara tidak sengaja mendapati sesuatu yang luar biasa serta kelainan pada payudara, anda mungkin dilanda dengan rasa kebimbangan serta rasa cemas. Kesemua ini sebenarnya dapat dielakkan sekiranya anda mengenali sifat serta perwatakan payudara anda kerana apa yang anda terasa mungkin merupakan sifat payudara anda.
Salah satu cara terbaik untuk anda mengetahui tabiat serta perwatakan payudara adalah dengan melakukan pemeriksaan sendiri payudara (PSP) secara setiap bulan sekali (regular monthly self breast examination).
Sekiranya anda adalah antara individu yang tidak pernah melakukan sendiri pemeriksaan payu dara, tekan di sini untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut mengenai PEMERIKSAAN SENDIRI PAYUDARA.
Fakta 07 Untuk mereka yang berumur 30-39 tahun – pemeriksaan klinikal payudara
Selain daripada PSP, mereka yang berumur di antara 30-39 tahun sepatutnya menjumpai pengamal perubatan setiap 3 tahun sekali walaupun tidak mengalami kelainan payudara. Untuk mereka yang melakukan PAP smear secara kerap, itu merupakan peluang untuk pengamal perubatan memeriksa payudara anda. Ini dipanggil pemeriksaan klinikal payudara.
Fakta 08 Secara Am
Anda tidak memerlukan pemeriksaan ultrasound ataupun mamografi kalau payudara anda terasa normal PSP mencukupi sebagai langkah aktif dan anda tidak memerlukan pemeriksaan saringan ultrasound kalau anda tidak terasa kelainan pada payudara anda. Pengimbasan (pemeriksaan saringan) mamografi adalah lebih sesuai untuk kaum wanita yang usianya sudahpun melebihi umur 40 tahun. Untuk mereka yang lebih muda, mamografi mungkin perlu kalau mereka daripada golongan yang berisiko tinggi. Ini termasuk mempunyai riwayat keluarga di mana barah payudara menyerang mereka yang umur 30an.
Fakta 09 Pemeriksaan pertama wanita yang muda selalunya ultrasound kalau…
Pemeriksaan pengimejan yang pertama untuk mereka yang muda (kurang daripada 35 tahun) dan mempunyai gejala benjolan ataupun ketulan adalah pemeriksaan ULTRASOUND.
Fakta 10 Sebaliknya umur bukanlah halangan untuk mamografi…mengapa?
Namun aspek umur tidaklah menjadi halangan untuk anda mendapatkan pemeriksaan mamografi (ini dipanggil mamografi diagnostik dan bukan pemeriksaan saringan/pengimbasan mamografi) sekiranya pengamal perubatan yang merawat anda mengesyaki penghidapan penyakit barah payudara pada diri anda.
lagi info tentang barah payudara kat sini - Pengesanan Awal Barah Payudara
ReplyDelete