Waktu mandi berkemungkinan bertukar menjadi saat-saat yang mencabar bagi yang bergelar ibu dan permata hatinya. Inilah masanya apabila si manja bertukar menjadi penangis dengan rambut yang berbau dan anda pula terjerit-jerit cuba membersihkan rambutnya dengan syampu.
Beginilah keadaannya yang sering berlaku di bilik mandi mereka yang mempunyai anak kecil. Kanak-kanak sememangnya tidak suka rambut mereka dibersihkan, manakala ibu pula ingin memastikan rambut anak mereka bersih, agar rambut mayang mengurai. Jika tidak dijaga dengan baik, rambut si manja mungkin menjadi kotor, kering dan kusut.
Walaupun rambut si manja perlu dibersihkan, tidak perlulah menjadi sesuatu yang merungsingkan.
Bagi menjadikan rutin ini sesuatu yang menyeronokkan, kita haruslah memahami terlebih dulu punca si kecil takut bersyampu. Kajian mendapati penggunaan sesetengah produk mandian atau syampu memedihkan mata mereka. Waktu mandi tanpa tangisan memerlukan syampu bayi yang dirumus khas agar lembut dan tidak memedihkan mata.
Walaupun menggunakan syampu tidak pedih mata, adalah penting supaya syampu tidak masuk ke dalam mata kerana bahan asing, malah air juga, boleh memedihkan organ penglihatan si manja.
Si manja anda mungkin tidak suka air jatuh ke muka ketika anda membersihkan rambutnya kerana air boleh merengsakan mata. Anda boleh sapukan jeli petroleum pada dahi si manja untuk menghalang air mengalir terus ke mata.
Sebagai alternatif, pilihlah syampu yang mudah dibilas. Si manja anda boleh mendongak ke belakang semasa anda membilas rambutnya.
Jika kena caranya, waktu mandi boleh memberikan keseronokan kepada si manja yang sentiasa girang. Syampu tidak semestinya melemahkan keceriaan dan kegembiraan bermain, tetapi boleh menjadikannya bersemangat. Si manja yang mana tidak suka akan buih-buih?
Caranya sememangnya senang! Anda cuma perlu kreatif untuk menjadikan waktu membersihkan rambut bersamaan dengan keseronokan. Rahsianya adalah mengalih perhatian si manja. Anda boleh menyanyi bersama mereka atau membiarkan mereka bermain dengan botol syampu kosong, ini membantu mengalih perhatian mereka daripada proses membersih rambut itu.
Antara caranya ialah meletak cermin di depan mereka dan membuat pelbagai gaya rambut yang lucu dengan rambut si manja yang penuh dengan buih-buih syampu. Buatlah rambut seperti bintang ‘rock’, gaya rambut lurus atau bertanduk seperti unikorn, malah apa-apa saja gaya! Biarkan si manja meneka gaya rambut mereka. Mereka pasti teruja melihat wajah mereka pada cermin dan tidak mengendahkan anda yang sedang membasuh rambut mereka.
Menjaga mata si manja
PERUNDING Oftalmologi, Pusat Perubatan Prince Court, Dr Tan Niap Ming, berkata refleksi kelip bayi tidak sofistikated seperti kanak-kanak yang sudah besar dan orang dewasa.
“Bayi boleh membuka mata tanpa berkelip selama 23 saat atau sehingga satu minit. Selain itu, bayi juga boleh menangis tanpa mengeluarkan air mata kerana duktus air mata dan refleks air mata mereka masih belum berkembang dengan sepenuhnya.
“Oleh itu, bayi tidak berupaya berkelip untuk melindungi mata mereka daripada benda yang merengsa atau untuk mengeluarkan benda merengsa itu dengan air mata. Apabila anda membilas syampu daripada rambut bayi, sesetengah bahan akan termasuk ke dalam mata bayi anda dan mata mereka mungkin masih terbuka pada waktu itu,” katanya.
dalam hubungan ini, beliau mencadangkan supaya ibu bapa perlu memastikan syampu yang digunakan untuk membersihkan si manja tidak mengandungi bahan kasar.
No comments:
Post a Comment