Wednesday, 27 May 2009

Menghidupkan hubungan pudar

Berikut beberapa panduan yang mungkin boleh diambil perhatian bagi mengembalikan semula kemesraan dan keintiman dalam rumah tangga yang semakin pudar.

1. Memaafkan pasangan walaupun anda mungkin tidak boleh melupakan apa yang dia lakukan.

Kadang kala kegembiraan lebih penting daripada mencari kebenaran. Ia akan menjadi lebih mudah selagi ikatan perkahwinan itu masih dirasai dan dihormati. Begitupun anda masih perlu berwaspada untuk mengelak perkara sama berulang lagi pada masa depan.

2. Meminta maaf (sekerap yang boleh) dan dilakukan dengan ikhlas. Ingat jika pasangan anda marah atau terluka dengan perbuatan tertentu anda, perbuatan sama juga boleh melukakan hati anda jika dia yang melakukannya.

3. Cuba selami dan merasai 'kesakitan' yang dialami pasangan. Sekurang-kurangnya sehari sekali anda cuba berfikir sejenak bagaimana agaknya perasaan pasangan anda jika anda melakukan sesuatu yang tidak disukainya.

4. Membina hubungan. Perkara-perkara kecil seperti minum teh bersama, menyuruh menukar cadar, bertanya apa hidangan makan malam dan sebagainya, sebenarnya membantu menghidupkan lagi sesuatu hubungan.

5. Bersangka baik terhadap pasangan. Sebagai contoh jika dia mengeluh anggaplah dia penat, bukan bosan manakala jenakanya yang tidak lucu adalah usahanya untuk berlawak bukan untuk merendahkan anda. Cara ini bukan saja dapat menghindari konflik tetapi menjadikan hubungan lebih menarik.

6. Curahkan pujian-pujian. Ini boleh membawa aura positif dalam hubungan anda dan boleh menjadi 'magis' yang diperlukan untuk menghidupkan lagi hubungan.

7. Bangkitkan perasaan positif dengan mengingat perkara-perkara yang baik pada masa lalu. Selak semula gambar-gambar lama semasa bercuti dan berbuallah mengenai bagaimana anda berdua bertemu.

8. Bina semula kepercayaan dalam hubungan. Antaranya, bersama-sama melakukan perkara-perkara yang anda berdua suka. Rancang percutian atau berkebun atau mengecat semula bilik bersama-sama.

9. Buka ruang untuk berbincang. Apabila suasana rumah tangga semakin baik dan tidak tegang, cuba berbincang mengenai apa yang anda mahu lihat dalam perhubungan anda dan apa yang masing-masing boleh memainkan peranan.

Cara paling baik mengambil angkah demi langkah untuk membaiki hubungan dalam hidup anda.


Free Signature Generator

No comments:

Post a Comment