Dalam kehidupan hari ini yang sentiasa sibuk mengejar masa, budaya memesan piza atau memesan makanan melalui kaunter pandu lalu di restoran makan segera semakin menjadi kebiasaan berbanding menikmati makanan malam dengan cara lebih sempurna di meja makan
Kita cenderung mengorbankan sesuatu yang lebih bermanfaat hanya kerana untuk kesenangan yang sedikit. Lebih malang lagi apabila gaya makan makanan segera ini turut 'diadaptasi' dalam perkahwinan.
Sebagaimana sistem imun badan akan menurun apabila kita terlalu bergantung kepada makanan rapu (junk food), begitu juga perkahwinan akan menjadi hambar apabila mengambil mudah dalam hal-hal berkaitan keintiman.
Budaya makan ini mungkin menjadi analogi paling tepat untuk menggambarkan sebuah perhubungan dalam perkahwinan. Jika tubuh manusia memerlukan diet makanan berkhasiat, begitu juga perkahwinan yang memerlukan 'makanan berkhasiat' dalam meningkatkan kehangatan perkahwinan. Berikut tiga 'makanan berkhasiat' tersebut:
Rancang
Sebagaimana pentingnya untuk merancang dalam menyediakan makanan begitu juga pentingnya merancang dalam perkahwinan.
Jangan biarkan rumah tangga atau perkahwinan berlalu begitu saja. Rancang masa untuk anda suami isteri dapat berdua-duaan.
Keluar 'berdating' seminggu sekali mungkin satu idea yang bagus. Memanglah tidak praktikal untuk keluar bersama sepanjang hari, jadi cari jalan untuk mungkin makan tengah hari bersama atau berjalan-jalan berdua selepas malam.
Letakkan peraturan untuk tidak bercakap mengenai kerja atau hal anak-anak ketika 'berdating', sebaliknya tumpukan pada hal-hal lebih peribadi dan impian anda berdua.
Berusaha mencari masa untuk anda berdua dan nikmati sepenuhnya masa yang cukup berharga itu. Ketika anak-anak sudah masuk tidur, tidak ada salahnya duduk bermanja-manja bersama suami atau isteri sambil menonton televisyen.
Memuji
Biasanya apabila anda selesai menikmati makanan yang enak di sebuah restoran anda akan memberi pujian kepada chef yang bertanggungjawab. Bagaimanapun, kita sering terlupa untuk memberi pujian kepada isteri yang membasuh baju kita atau suami yang membereskan segala bil-bil rumah.
Kadang kala apabila usia perkahwinan sudah menjangkau belasan atau puluhan tahun, hubungan akan menempuh rintangan-rintangan emosi yang mungkin memerlukan anda untuk berhenti melihat sejenak apa yang berlaku dan mulalah belajar menghargai satu sama lain.
Jangan biarkan cinta dan kasih sayang terhakis oleh kritikan-kritikan yang menyentuh emosi. Sebaliknya, bina semangat masing-masing dengan saling memuji.
Sebagai contoh, apabila suami menyenangi dan mengagumi isterinya yang bijak dan cantik akan membuatkan isteri berusaha untuk membuatkan suami gembira dengan menjadi lebih bijak dan lebih cantik.
Berdoa
Sebagaimana kita menjadikan membaca doa sebagai amalan harian sebelum makan begitu juga dalam perkahwinan. Sebuah perkahwinan yang disirami dengan keimanan adalah petunjuk kepada satu hubungan yang sihat secara keseluruhannya.
Bersolat dan berdoa bersama mampu mengeratkan lagi keintiman pasangan suami isteri dan untuk lebih berkesan ia haruslah dilakukan dari hati yang tulus ikhlas. Berdoa dapat menyuburkan lagi perkahwinan dan hubungan kita dengan Tuhan.
No comments:
Post a Comment