Saturday, 25 April 2009

Peranan airdalam gaya hidup aktif

Berapa banyak airkah yang dikatakan mencukupi?

Terdapat pandangan yang berbeza-beza tentang keperluan cecair di dalam tubuh badan manusia.

Adalah dianggarkan, orang dewasa kehilangan kira-kira satu hingga dua liter air sehari menerusi perpeluhan, pembuangan air kecil dan besar serta pernafasan.

Kita akan kehilangan lebih banyak cecair jika aktif secara fizikalnya.

Dalam pada keperluan individu yang pelbagai; bergantung kepada berat badan, iklim dan tahap aktiviti, secara umumnya kita disarankan minum sekurang-kurangnya lapan gelas (240 mililiter segelas) atau bersamaan dua liter air, sehari.

Minum air. Kenapa penting?

* Badan kita mengandungi sehingga tiga suku cecair. Itulah sebabnya, perlu untuk kita mengekalkan tahap pengambilan air yang memadai.

* Setiap bahagian tubuh kita dari sel individu ke sistem peredaran seluruhnya, adalah bergantung kepada cecair.

* Buah pinggang kita yang menapis bahan-bahan tercemar dari aliran darah dan mengumuhkannya melalui air kencing, memerlukan minimum satu liter cecair untuk berfungsi dengan sempurna.

* Tanpa cecair, seseorang boleh mati dalam tempoh tiga hari sedangkan kita masih boleh hidup sehingga lapan minggu lamanya tanpa makanan.

Begitulah jika hendak digambarkan betapa gentingnya untuk mengekalkan badan anda dihidrat.

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEhR6npCzcEmA2UTny5QSQ4YgfCytk1lUnyZIUUrILHM2xlJTDSCfluOrHkXfhO-9wgQdRHc7XL4y74CuEyNdSVdrdyFFrHONGirovfxjZzZUP2R7eaOesu5x4d8fSx7mdJ1ZefXomwYD0k/s320/ist2_32932_water_glass.jpg

Masa untuk minum

Dahaga bukanlah petunjuk yang bagus bahawa sudah tiba masanya tubuh seseorang itu memerlukan air.

Malah, ia merupakan satu petanda badan telah memasuki tahap penyahhidratan awal.

Adalah penting bagi kita menambah cecair di dalam badan sekali pun sebelum berasa dahaga.

Air perlu diminum dalam jumlah sederhana setiap jam, pada hari-hari bekerja.

Kenapa kita sering melupakan pengambilan cecair?

Satu tinjauan yang dikendalikan oleh Temasek Polytechnic, dengan kerjasama Asian Food Information Centre (AFIC) di Singapura pada tahun 1998 mendapati, sebanyak 20 peratus daripada 400 responden terlupa untuk minum!

Sementara itu, sebanyak lima peratus lagi berkata, ia merupakan sesuatu yang “amat menyusahkan’’, mencari sesuatu untuk diminum manakala tiga peratus menyatakan mereka tidak mahu kerap ke tandas.

Sejumlah besar responden tidak menyedari bahawa sesungguhnya, badan kita mengandungi sehingga tiga suku cecair - sebab mengapa sangat penting bagi kita untuk mengekalkan tahap pengambilan cecair.

Apakah yang ada di dalam cecair anda?

Dewasa ini, terdapat pelbagai jenis cecair yang boleh kita pilih. Jadi, rasa-rasanya tiada alasan kita tidak minum secukupnya.

* Air masak atau air putih - pilihan masa dahulu yang paling baik sehingga kini, sama ada suam atau sejuk.

Sehiris lemon atau limau nipis yang ditambahkan ke dalam air memberikan perubahan rasa yang menyegarkan.

* Susu - segelas susu rendah lemak didatangkan bersama dengan kalsium, protein dan air. Kesegaran susu kocak yang diperbuat daripada buah-buahan segar amat menyedapkan.

* Minuman isotonik - sumber yang baik untuk menggantikan bahan elektrolit seperti kalium, klorida, natrium dan magnesium bagi mereka yang tidak tahan dengan keadaan panas dan lembap.

Di mana, dalam keadaan ini peluh tidak dapat dielakkan terutamanya bagi mereka yang aktif atau terlibat di dalam aktiviti berpanjangan.

Pelbagai perasa minuman isotonik seperti lemon dan oren menggalakkan hidrasi dengan cara meningkatkan kesedapan rasanya.

* Jus buah-buahan dan sayur-sayuran segar - cara yang baik untuk memulakan hari anda memandangkan ia menyediakan vitamin dan mineral. Dengan syarat, anda hendaklah meminumnya sebaik sahaja disediakan.

* Teh - sama ada hijau, hitam atau teh oolong terbukti mempunyai flavonoid, menjadikannya satu lagi pilihan cecair yang menarik.

* Kopi, terutamanya kopi ais sangat menyegarkan dibuat minum petang.

Bagaimanapun, pengambilan minuman berkafeina secara berlebihan mempunyai sedikit kesan diuretik (kerap membuang air kecil).

* Sup - pembuka mulut hidangan yang masih digemari sejak sekian lama dahulu ini turut menawarkan jumlah cecair yang baik.

* Buah-buahan dan sayur-sayuran segar - limau, tembikai, epal, semangka, anggur, tomato dan mentimun mengandungi antara 70 hingga 80 peratus air dengan sasaran lima hidangan sehari.

* Manisan pencuci mulut dalam jumlah yang dibenarkan seperti ais kacang, cendol atau tau-fu-fah menyumbang kepada pengambilan cecair.

Tip mendapatkan lebih cecair

* Minum pelbagai jenis cecair untuk mengelakkan kebosanan dengan jenis cecair yang sama setiap masa.

* Letakkan kole atau bekas cecair di atas meja kerja anda dan isi semula kole dengan kerap.

* Apabila anda berhenti berehat, minum air untuk menyejukkan badan anda.

* Bawalah minuman bersama-sama anda ke mana sahaja anda pergi baik di dalam kenderaan mahu pun beg anda.

* Jika anda bersenam atau sekiranya cuaca sangat panas, jangan lupa ‘membanjirkan’ tubuh anda dengan lebih banyak cecair.

Minuman isotonik merupakan satu pilihan yang bagus untuk menggantikan semula elektrolit di dalam badan anda yang telah hilang.


Free Signature Generator

No comments:

Post a Comment