Monday, 13 April 2009

Yoga mata

Kesihatan Badan



SEHARIAN mengadap komputer, berdepan debu serta habuk kotoran terutama ketika menunggu bas dan teksi, ditambah pula dengan tidur yang tidak mencukupi menyebabkan mata anda kelihatan lebam, kurang bermaya dan sembab. Keadaan mata yang tidak bermaya menyebabkan wajah kelihatan tua.



Bagi memiliki mata sihat dan bersinar, anda harus mempraktikkan senaman yoga khusus bagi mata untuk memastikan ia kekal bertenaga. Yoga mata berfungsi untuk melancarkan peredaran darah dan oksigen sekitar mata selain mampu mengatasi masalah dehidrasi dan penuaan.

Hakikatnya mata juga memerlukan penjagaan rapi sama seperti rambut, kulit, kuku dan badan. Tanpa anda sedari mengerah deria ini bekerja terlalu lama terutama dengan tugasan kerja yang menuntut masa lama di hadapan komputer menyebabkan kepekaan deria ini semakin berkurangan.

Tidak terlewat untuk manjakan mata anda dengan teknik yoga mata yang diyakini selamat serta mampu menegangkan kulit di sekitar mata, selain membuatkannya kelihatan lebih bermaya dan peka.

Bagaimana melakukan yoga mata?

Bagi memastikan teknik yoga ini berkesan ia menuntut penghayatan dan kesungguhan. Malah, pakar kecantikan barat mengakui kaedah ini berkesan dalam menjamin kualiti kesihatan mata terpelihara. Walaupun kedengaran agak pelik, teknik ini mampu memastikan renungan mata anda lebih bertenaga.

1. Pastikan badan dalam posisi betul, ambil masa 10 hingga 15 minit untuk menenangkan diri, kemudian tarik nafas perlahan untuk memberi tenaga dan melancarkan pengaliran darah

2. Bantuan krim mengelakkan garis dan kedut sekitar mata diperlukan, urut perlahan-lahan terutama di kawasan kedutan bermasalah di bawah mata

3. Latihan dimulakan dengan menggerakkan mata ke arah bawah, tahan dalam kiraan lapan hingga 12 saat. Teruskan menggerakkan mata ke arah atas, ke kiri dan kanan dalam jumlah hitungan yang sama

4. Rehat sebentar, bagi memastikan mata berada dalam keadaan lebih selesa

5. Secara perlahan-lahan putar bebola mata mengikut arah jam, lakukan dengan tenang ulangi beberapa kali mengikut keselesaan

6. Kemudian, fokus kepada satu objek yang agak jauh, hala pandangan mata ke arah satu titik objek tanpa berkelip

7. Teruskan dengan menggerakkannya ke sisi kiri bawah, kanan ke atas, kanan bawah dari kiri atas

8. Lakukan gosokkan antara dua telapak tangan sehingga terasa panas, kemudian letakkan dan tekapkan lembut pada mata yang tertutup. Lakukan gerakan ini sebanyak tiga kali

9. Akhir sekali, rebahkan badan atau tetap duduk bersila. Tutup mata dan kosongkan fikiran sehingga tubuh benar-benar relaks

No comments:

Post a Comment