Apabila anak mula mengulang kaji pelajaran khususnya untuk menghadapi peperiksaan, ibu bapa lazimnya turut resah.
Antara aspek yang perlu diberi keutamaan ialah kesihatan kerana ia penting ketika membuat ulang kaji pelajaran hinggalah ke dewan peperiksaan. Keadaan kesihatan yang buruk mengganggu persediaan untuk peperiksaan.
Sekiranya masih banyak yang perlu diulang kaji, tentu ia menimbulkan kebimbangan. Gangguan kesihatan pasti tidak mengizinkan diri mengulang kaji dan ini boleh membawa kepada tekanan emosi.
Oleh itu, ibu bapa boleh membantu anak untuk memastikan perkara berikut diberi perhatian khususnya ketika menghadapi peperiksaan:
# Tidur yang cukup
Tidur mencukupi adalah antara enam hingga lapan jam sehari, bergantung kepada individu. Kurang tidur menyebabkan diri rasa mengantuk, letih dan boleh jatuh sakit. Tidur berlebihan juga tidak baik untuk kesihatan. Jadi pastikan latih diri dengan masa tidur yang optimum ini mulai sekarang.
# Jaga pemakanan
Allah berfirman, "Makanlah daripada makanan yang baik yang Kami berikan" (Al-Baqarah : 57). Yang dimaksudkan makanan yang baik ialah baik dari segi sumber (halal), kualiti (zat), rasa (enak dan lazat) serta bersih (tidak membawa penyakit dan kemudaratan).
Ibu bapa juga perlu memastikan anak diberi makanan daripada sumber yang halal. Makanan haram akan menghitam dan menggelapkan hati mereka.
# Riadah
Jangan biarkan anak beriadah sehingga meletihkan badan. Ramai pelajar yang bermain hingga penat dan akibatnya mereka rasa mengantuk untuk mengulang kaji pelajaran.
Riadah boleh dilakukan selama 20 minit sebanyak tiga kali seminggu. Lakukan senaman ringan yang mengeluarkan sedikit peluh. Pada saat akhir untuk menghadapi ujian atau peperiksaan, lupakan dulu bola sepak, badminton, tenis dan seumpamanya.
# Keselamatan
Jaga keselamatan diri sebaiknya. Selain mengelak kecederaan, jauhkan diri daripada aktiviti lasak yang boleh membawa kepada kecelakaan.
# Pelbagai gambaran negatif
Masalah yang sering dihadapi pelajar apabila hampir dengan peperiksaan ialah takutkan kegagalan. Walaupun sudah berusaha bersungguh-sungguh, perasaan takutkan kegagalan ini sering mengganggu fikiran.
Ada juga yang menyerah kalah sebelum berjuang kerana berasa sudah tidak ada harapan lagi. Bagi golongan ini, untuk apa belajar jika hasilnya adalah kegagalan.
Mereka percaya akan gagal dalam peperiksaan berdasarkan kepada keputusan peperiksaan atau ujian sebelum ini. Mereka cuba membaca, tetapi dengan keyakinan tidak mungkin mereka mampu memahami dan mengingati setiap fakta yang dibaca.
# Rasa belum bersedia
Untuk mereka yang sememangnya belajar, ada juga yang berasa belum cukup bersedia. Mereka sentiasa fikirkan apa akan berlaku jika segala usaha itu sia-sia? Apa akan berlaku jika terlupa segala yang dibaca?
Untuk mengatasi tekanan sedemikian, haruslah berfikiran positif. Fokuskan mental pada apa yang perlu dilakukan dan hasil yang diharapkan. Tidak perlu terlalu bimbang mengenai keputusan yang bakal diperolehi tetapi bimbang jika anda tidak menggunakan sisa masa yang ada untuk berusaha sepenuhnya.
# Harapan ibu bapa yang terlalu tinggi
Tidak ada ibu bapa yang tidak mengharapkan kejayaan anak-anak. Ada ketikanya, ibu bapa berulang kali menyatakan harapan mereka kepada anak tanpa memikirkan kemampuan sebenar diri anak. Harapan yang terlalu tinggi ini ada ketikanya menjadi beban kepada anak hingga mengganggu fikiran mereka.
Ibu bapa seharusnya mendorong anak dan menyatakan apa yang dimahukan adalah berusaha gigih dan melakukan yang terbaik mengikut kemampuan masing-masing. Ibu bapa harus reda walau apa sekalipun keputusan peperiksaan itu, ini sedikit sebanyak akan mengurangkan tekanan ke atas diri anak.
No comments:
Post a Comment